25
Apr

Satu Lagi Peluang Dan Jalan Keluar Yang Saya Amalkan Untuk Mengubah Kehidupan

Assalamualaikum WBT. Apa khabar buat para pelawat Hadzrin.com.

Tahun ini dah nak masuk tahun kelima blog ini diwujudkan untuk membantu sesiapa sahaja yang nak mengubah hiduo dengan cara berusaha dan bukan cara mudah atau malas.

Hari ini saya kongsikan antara peluang yang saya lihat sebagai satu jalan yang boleh dijadikan sebagai amalan untuk ke arah kejayaan dan kebahagiaan yang kekal abadi.

Post kali ini berkisahkan satu projek tabung saham anak yatim yang giat beroperasi di Rawang. Saya tidak ada kena mengena dengan pusat kebajikan ini tetapi saya gunakan sebagai platform untuk sama-sama membantu anak-anak yatim yang dibela disana.

Ibarat jika kita menanam saham disana, kita juga seperti ibarat memberi makan kepada anak-anak yatim itu, kita juga yang mengajar solat disitu, kita juga yang yang mengajar ilmu di situ, kita juga yang memberikan ubat disitu bila mereka sakit, kita juga yang berikan pakaian kepada mereka ketika mereka menutup tubuh mereka.

Untuk lebih dalam tentang tempat anak yatim ini, saya ingin kongsikan kisah pusat jagaan anak yatim ini biar anda sendiri kenal latar belakang mereka sebelum anda menjadi pemegang saham di sana.

ADA banyak cara orang mencari kepuasan dalam kehidupan. Sesetengah individu memiliki kereta besar, rumah besar dan duit yang bertimbun, satu kepuasan. Ada juga yang miskin harta benda tetapi puas dengan kasih sayang keluarga yang melimpah ruah.

Segelintir insan seperti pasangan suami isteri, Rosli Abd. Ghani dan Rupiza Abdul Hamid pula berasa puas apabila dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik khususnya anak yatim dan terbiar.

Anak-anak ini bukan anak sendiri malah tiada juga pertalian darah sekadar saudara seagama. Namun, ia bukan jadi halangan untuk mereka mencurah kasih dan sayang, di samping sanggup berkorban masa, tenaga malah wang ringgit mendirikan rumah anak-anak yatim bagi memastikan insan-insan kurang bernasib baik ini ada tepat berlindung, seterusnya melalui kehidupan lebih sempurna.

LIMA tahun lalu, seperti kebanyakan suami isteri lain, pasangan Rosli Abd. Ghani, 44, dan Rupiza Abdul Hamid, 43, hidup sederhana di ibu kota mencari rezeki dengan makan gaji di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal.

Hidup mereka bahagia dan dikurniakan dengan enam orang anak berusia antara 20 hingga tujuh tahun.

Sibuk melaksanakan tugas sebagai eksekutif di tempat kerja tidak menyekat Rosli untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan sebagai pengerusi surau di syarikat tersebut, yang akhirnya menjadi titik tolak penglibatannya dalam dunia kebajikan secara lebih serius.

Lebih memudahkan apabila isterinya, Rupizah tidak berkerja dan sedikit sebanyak turut membantunya dalam kerja-kerja kebajikan.

“Sebagai pengerusi surau, saya dan ahli jawatankuasa banyak mengumpul dana untuk bantuan rumah anak yatim, orang-orang tua dan sebagainya.

“Dari situ tergerak hati saya untuk membuka rumah anak yatim sendiri,” jelasnya.

Setelah berbincang dengan isteri dan ahli keluarga, Rosli yang kebetulan menerima tawaran skim pemberhentian secara suka rela (VSS), menubuhkan rumah untuk anak yatim di Batu Caves, Gombak, Selangor.

Rumah kebajikan yang diberi nama Pertubuhan Kebajikan Rumah Silaturahim Nurul Qana’ah dibina pada tahun 2004 menempatkan kira-kira 30 anak yatim berusia lima hingga 13 tahun.

“Selepas lebih dua tahun rumah kebajikan tersebut beroperasi, kebetulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberitahu bahawa di kawasan Bandar Tasik Puteri belum ada rumah untuk anak yatim.

“Justeru saya mengambil inisiatif untuk membina sebuah lagi rumah kebajikan di kawasan tersebut bermula pada April 2006,” jelasnya.

Beliau menyerahkan Rumah Nurul Qana’ah di bawah seliaan seorang rakan untuk memberi tumpuan kepada pembinaan rumah anak yatim di Rawang, Selangor, yang diberi nama Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas).

Bermula dengan menyewa dua unit rumah teres dua tingkat, Rosli sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit bagi mengumpul anak-anak yatim dan terbiar menerusi pencarian di kawasan setempat.

Ada juga sesetengah penghuni dihantar oleh ahli keluarga dan saudara mara yang tidak mampu menjaga mereka kerana kemiskinan hidup.

Rosli dan isteri menjaga para penuhi Pekeas bagi ahli keluarga sendiri, bahkan kasih saya dan perhatian yang diberi tidak ada bezanya dengan apa yang diberi pada anak-anak kandungnya.

“Kasih sayang yang diberikan sama rata dan keperluan mereka dibahagikan seadil mungkin.

“Malah, pada masa lapang kami membawa anak-anak ke sini untuk melakukan aktiviti bersama penghuni Pekeas.

“Pendekatan begini dibuat secara tidak langsung untuk mendidik anak-anak kami supaya memahami kehidupan di dunia ini bukannya semudah yang dibayangkan.

“Anak-anak juga gembira berkawan bersama penghuni di sini dan mereka lebih terbuka dalam memahami kehidupan,” kata Rosli sambil dipersetujui isterinya.

Di Pakeas, Rosli dan Rupizah dibantu oleh pengasuh iaitu dua pasang suami isteri, Patimah Hashim, 55, dan suaminya, Ali Lebai Ismail, 65, serta Jamali Mustafa, 63 dan isterinya, Azmi Jamhari, 54,

Menurut Rosli, mereka berfungsi sebagai ‘ibu’ dan ‘ayah’ untuk penghuni di Pekeas, di samping membantu dalam menguruskan rumah dan kebajikan anak-anak di situ.

“Kami di sini seperti sebuah keluarga yang ‘besar’. Konsep pengasuh berfungsi sebagi ‘ibu’ dan ‘ayah’ merupakan pendekatan yang baik bagi mewujudkan suasana kekeluargaan yang erat bagi setiap anggota lama atau baru di Pekeas.

“Tidak dinafikan pelbagai macam kerenah anak-anak yang dihadapi, namun syukur kepada Allah semuanya dapat ditangani dengan baik,” ujar Rosli.

Pekeas kini mempunyai 15 penghuni perempuan dan 15 lelaki, kesemua berusia dari lima tahun hinggalah 17 tahun. Pemilihan penghuni terbahagi kepada empat kategori iaitu, anak yatim, anak terbiar dari ibu bapa yang bercerai, anak mualaf yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan anak dari keluarga yang miskin.

Kehidupan mereka adalah sama seperti kanak-kanak dan bagi yang akan menduduki peperiksaan mereka berpeluang mengikuti kelas tuisyen.

“Alhamdulillah, ada yang menaja perbelanjaan kelas tambahan anak-anak ini. Malah sepanjang cuti sekolah, terdapat syarikat swasta dan orang perseorangan yang menaja beberapa anak-anak dari sini untuk ke bengkel motivasi dan peluang melancong sambil belajar.

“Umpamanya sekarang ini, empat penghuni kami dipilih oleh syarikat YAWA untuk belayar bersama kapal TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) hingga ke Singapura sebagai memenuhi percutian sekolah mereka.

“Bulan lalu, ada seorang bergelar datuk menaja kos bersunat untuk tiga orang kanak-kanak lelaki Pekeas di Hospital Sungai Buloh,” jelas Rosli yang turut memiliki pusat rawatan tradisionalnya sendiri.

Rosli mengakui menubuhkan rumah kebajikan mempunyai cabaran yang tersendiri. Adakalanya mereka menghadapi kekurangan tajaan ekoran lokasi yang jauh dari ibu kota menyukarkan penaja untuk melihat sendiri tempat yang hendak ditaja mereka.

“Untuk keselesaan penghuni di sini, saya bercadang membina sebuah kelas, pejabat dan surau untuk melancarkan semua aktiviti mereka.

“Kekurangan dana menyebabkan semuanya tidak dapat dibuat dengan sempurna dan terpaksa ditangguh dahulu. Setakat ini semua aktiviti seperti kaunseling, kelas fardu ain dan mengaji dibuat di ruang tamu yang sempit dan kurang selesa untuk penghuni yang terdiri dari pelbagai peringkat umur,” tambahnya.

Seperti insan lain, Rosli turut mempunyai impiannya sendiri. Matlamatnya ialah untuk menubuhkan kompleks kebajikan yang menempatkan anak yatim, terbiar, ibu tunggal, warga emas di bawah satu bumbung.

Kompleks yang dianggarkan bernilai RM7 juta itu akan dibina di atas satu kawasan seluas tiga ekar dilengkapi segala kemudahan seperti surau dan pusat aktiviti.

“Ia masih peringkat cadangan dan saya akan usulkan kepada pihak berkuasa untuk kelulusan. Namun, sebelum mati saya berdoa agar impian ini tercapai. Harta benda, kekayaan bersifat sementara, inilah harta yang kekal (amal kebajikan) yang akan dibawa hingga ke akhirat kelak,” jelasnya menutup bicara.

Pengalaman pengasuh

Sementara itu, Jamali, yang telah hampir setahun menjadi pengasuh di Pekeas berkata, hidup dan bergaul dengan anak-anak yatim dan terbiar memberi pengalaman yang cukup mengujakan biarpun kadang kala ia mencabar.

“Anak remaja terutamanya lelaki, memang mempunyai perangai mereka sendiri, ada yang suka keluar malam dan ada yang sukar mendengar kata.

“Saya lebih suka menggunakan pendekatan psikologi serta pelukan semangat untuk melembutkan hati mereka,” ujarnya.

Beliau juga pernah berhadapan dengan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami trauma ekoran kematian bapanya.

“Budak berusia sembilan tahun itu tidak mahu bercakap dan tidak mempunyai ekspresi walau kita cuba berbual dengannya. Namun, lama kelamaan apabila dia dipujuk, diberi ruang sendiri maka dia boleh menerima keadaan baru dan berkawan dengan rakan-rakan di sini,” jelas Jamali yang berperwatakan ceria.

Bagi Jamali, meskipun anak-anak tersebut bukan darah dagingnya tetapi kasih sayang dan perhatian yang diberi tidak pernah berbelah.

“Menjaga anak-anak yatim ini satu amanah Tuhan. Tidak semua orang ‘ terpilih’ memikul amanah itu, jadi saya perlu bersyukur dan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Pendapat sama dikongsi oleh Patimah yang bertanggung jawab menjaga perihal anak-anak yatim perempuan.

Dia mengakui, ada kalanya menitis air mata kerana kerenah anak-anak tersebut tetapi nikmat kepuasan mendidik anak-anak yatim tersebut memadam semua kepayahan.

“Pernah ada salah seorang anak yang berjanji dan bersumpah tidak akan mengulangi tabiat buruknya, namun dia tetap tidak mengubah tabiat itu.

“Perkara seperti itu memang mengecewakan dan menyentuh naluri kita sebagai ibu kerana kita menganggap mereka sebagai anak kandung sendiri.

“Namun, kita tetap berusaha dan berharap mereka berubah menjadi orang yang berguna demi masa hadapan yang lebih baik selepas keluar dari rumah ini kelak,” ujar Patimah yang berasal dari Perak.

Sementara itu, orang ramai ingin menyumbang kepada pertubuhan ini boleh menghubungi talian 019-2252727 atau terus ke rumah kebajikan yang beralamat 37, Jalan Hijau 11/11, Blok 16, Bandar Tasik Puteri, 48020, Rawang, Selangor.

Jika anda ada akaun Maybank, boleh guna Maybank2u untuk jadikan sebagai FAVOURITE TRANSFER ke akaun PERTUBUHAN KEBAJIKAN ASH AYAKUR 512400003033 (Maybank)

Dapat transfer sehari RM2 ke RM10 pun bagus

Sumber dari Utusan Online

Tinggalkan Komen Anda

*

faizal

April 25, 2013 at 6:47 am

SUBHANALLAH.SATU PERKONGSIAN YG AMAT BERMAKNA..TERIMA KASIH KPD INSAN YG BEKORBAN UTK MENULIS CERITA INI…SEMOGA IANYA MENJADI AMALAN KITA SEMUA INSYAALLAH…