23
Jul

Makanan Yang Merosakkan Hati

Assalamualaikum WBT, apa khabar ? Apa yang anda rasakan jika ayam goreng yang anda pesan di mamak melihat anda sambil senyum dan lambai kepaknya kepada anda? Terus hilang selera nak makan #@$%^

Bulan Ramadhan ini sana sini banyak menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadhan dan amalan berpuasa. Ada yang sarankan agar waktu bersahur banyak makan nasi dan waktu berbuka ambil manisan sahaja.

Tetapi kebiasaannya waktu berbukalah yang banyak makan lebih-lebih lagi waktu berbuka sahaja ada sistem Buffet. Belum pernah saya lihat tawaran buffet waktu bersahur. Melainkan tetamu hotel yang sarapannya digantikan dengan sahur.

Macam baru sahaja saya bersahur di Hotel Paragon Johor Bahru tahun lepas. Masa cepat betul berlalu. Dan rasanya puasa tahun ini akan rasa waktu yang paling singkat dan pantas. Tak seperti masa zaman sekolah dulu tahun 70an…

Setiap hari minggu selepas solat subuh di masjid tempat kediaman saya akan adakan ceramah selepas subuh di Bulan Ramadhan ini. Selama ini saya tercari-cari dan tertanya-tanya. Bagaimana caranya nak bersihkan hati.

Sesuatu yang tanpa disedari adalah amat sukar untuk menjaga hati sepanjang waktu. Jadi pada hari Sabtu yang lepas di hari puasa yang pertama, seorang Ustad yang sudah tinggal di Mekkah datang ke masjid kami dan mula berikan ceramah subuhnya.

Katanya, menu makanan yang diambil oleh pelajar-pelajar tahfiz adalah menu yang orang biasa belum tentu mampu nak makan.Lebih-lebih lagi orang zaman sekarang. Sebelum itu, saya ingin kongsikan perbezaan puasa diantara orang Islam dengan agama lain.

Kepercayaan Budha juga ada puasa. Mereka berpuasa pun lagi dasyat dari kita. Ada yang 24 jam puasa. Tapi yang membezakan puasa kita ialah kita bersahur tetapi mereka tidak. Sebab itu Nabi Muhammad SAW berpesan agar mengambil peluang untuk merebut ganjaran dengan hanya bersahur.

Biarpun hanya memakan kurma yang kotor dan minum air putih disitu dah ada keberkatan berbanding orang yang tidak bersahur.Besar ganjaran bagi yang bersahur. Dulu saya tidak tahu pada zaman sekolah dulu. Saya paling malas sekali nak kena bangun sahur. Bila bangun kena paksa makan nasi.

Hal itu saya terikut sehingga saya mula bekerja. Sebab rasakan setiap kali bersahur akan rasa cepat lapar. Tetapi bila dah tahu keberkatan sahur, idealogi terus berubah. Tambah pula bila dah berumah tangga, ada orang yang tolong kejutkan.

Berbalik pada cara nak bersihkan hati tadi. Apa makanan yang perlu diambil agar hati ini dipelihara. Supaya tak adalah kita rasa malas nak buat ibadah, tidak rasa perasangka buruk pada orang, mudah nak menghafal ayat al Quran.

Menu yang diambil oleh pelajar-pelajar Tahfiz adalah sayur-sayuran dan buah-buahan. Bagaimana dengan ayam atau ikan ? Mereka mengambilnya seminggu sekali atau sebulan sekali.

Zaman sekarang, menu utama setiap hari mestilah ada ayam atau ikan dan kadangkala ikan atau ayam lebih banyak kali makan dari nasi seperti makan chicken chop atau fish and chip.

Jika banyak makan daging seperti ayam atau lembu akan membuatkan hati kita menjadi keras dan jika banyak makan ikan, akan menyebabkan hati menjadi hitam. Patutlah sekarang ni susah betul nak hafal ayat Al Quran biarpun dah baca beribu kali.

Sebab itu pelajar tahfiz hanya makan sayur yang banyak. Entah bila pula saya nak mula hidup seperti itu. Insya Allah suatu hari nanti. Bila rumah impian saya sudah siap dibina yang ada kebun-kebun untuk tanam buah dan sayur. Jimat sedikit belanja dapur. Zaman sekarang ni, sayur lebih mahal dari daging.

Saya ada berbincang dengan isteri saya untuk mulakan pemakanan ambik sayur-sayuran sahaja lepas ini. Cadangan syaa diterima sebab selama ini isteri saya tidak makan daging merah. Mungkin dulu masa kerja sebagai nurse selalu tengok daging dan darah orang. Tak ada beza bila tengok daging lembu.

Penyakit yang berlaku sekarang kebanyakannya berpunca dari hati. Sebab itu orang yang umurnya panjang ialah orang yang setiap malam sebelum tidur memaafkan orang lain. Tidak ada dendam dalam hati sewaktu tidur yang tanpa sedari sebenarnya jika memendam sesuatu, akan menjadikan kanser.

Saya masih ingat lagi seorang Pakcik yang saya kenal pada ketika itu umurnya sudah 60 tahun dan ketika itu umur saya baru 20an. Walaupun dia sudah tua, tetapi kelihatan muda. Sekarang ini saya tak tahu apa perkembangan dia. Namanya Encik Ghani. Duduk di Seksyen 7 Shah Alam. Bekas kakitangan UiTM dan giat buat bisnes Cosway.

Katanya, ” Diri kita adalah dari apa yang kita makan.” maksudnya kalau kita ni jenis orang yang buruk mungkin disebabkan makanan yang banyak kita ambil adalah dari makanan yang asalnya kotor atau buruk.

Cuba tengok makanan yang dinamakan Balut ini. Telur itik yang hampir menetas dalam 18 hari dijadikan hidangan lazat orang Filipino. Katanya bagus untuk tingkatkan kekuatan seks.

Sebab itu pelacur-pelacur di Filipino sebelum mula bekerja mereka akan makan telur balut ini. Hati semakin hitam dan keras dijauhkan dari nur.

Apalagi kalau makan binatang yang berbisa. Seperti orang cina ini yang makan ular hidup-hidup. Sudah tentu merbahayakan kesihatan kerana ada racun. Sekarang mungkin tidak kelihatan penyakitnya tetapi di masa akan datang sengsara hidup.

Wajah yang miliki hati keras dan hitam berpunca dari makanan diambil. Habis bagaimana nak makan ?

Saya ada seorang kawan yang bamyak amalan ilmu tetapi satu sahaja yang di kalah bila sentuh bab makan. Jika amalan sesuatu ilmu itu perlukan dia berpuasa, dia payah nak buat. Sebab cobaan banyak bila hari hari lalu depan Mcdonald, burger King dan Noah Burger.

Jika jatuh pada bulan puasa ni kira selamat lah sebab cobaan tak ada. Kalau hari biasa tak boleh tahan bila tengok orang lain sedang membalun burger.

Jadi saya juga bermasalah seperti dia. Hari-hari dalam menu pasti ada lauk ikan atau ayam. Belum pernah saya pergi ke kedai makan dan memesan nasi serta sayur sahaja.

Itu yang saya beritahu tadi, kalau menu pelajar-pelajar tahfiz ni, memang tak ramai yang mampu lakukan. Ada juga ibubapa yang melenting bila tahu hal menu makanan anak mereka. Kalau nak ajak makan buffet di hotel memang mereka hanya makan buah atau sayur sahaja. Dan amaunnya pun sedikit.

Sekarang ini, dah tahu, maka dah boleh merancang untuk mulakan makanan yang boleh kembali bersihkan hati.

Tinggalkan Komen Anda

*

Noraini ibrahim

August 3, 2012 at 10:43 pm

Salam sejahtera… Saudara,
Selama ini, saya mengikuti perkongsian blog ini sebagai silent reader.
Alhamdulillah, banyak perkara yang dibincangkan menjadi rujukan dan santapan rohani saya selama ini.
Tetapi entri berkaitan makanan ini saya tertarik untuk mengulas beberapa perkara yang saya rasakan boleh dibincangkan kebenarannya.
Saya telah menjalani program gaya hidup sihat di organisasi saya yang berlangsung secara bersiri selama 6bulan. Peserta dibimbing dan dipantau oleh seorang konsultan yang juga seorang doktor pakar dalam bidang ‘ageing’. Program tersebut merupakan cara holistik @ menyeluruh yang menekankan 7 aspek kesihatan:persiapan minda yang betul, pengambilan makanan yang seimbang, air yang mencukupi, pengurusan tekanan, amalan senaman, makanan tambahan dan penjagaan kulit.

Namun yang lebih utama, kelebihan utama program ini, sumber modulnya yang utama adalah berasaskan nas  al-Quran dan hadis yang sahih. Konsultan/pakar menekankan kandungan program tersebut berpandukan cara hidup dan diet Rasulullah saw sebagai sumber modul program. 

Pendapat ustaz yang saudara utarakan tersebut saya rasakan agak terhad kerana pengambilan sayuran dalam diet harian semata-mata adalah agak kurang tepat. Jika diambil justifikasi diletakkan kepada pelajar tahfiz sebagai tanda aras, saya merujuk kepada aspek minda, pengurusan tekanan dan amalan gaya hidup mereka juga memberi impak dalam kejayaan mereka ‘menjaga hati’, bukan semata-mata cara pemakanan mereka. 
Jika dilihat kepada sunnah dan gaya hidup Rasulullah saw, baginda mengambil karbohidrat (tepung gandum kasar), sedikit protein, buah-buahan dan jenis berlemak, tetapi pada kadar yang penuh hikmah. Baginda mengamalkan pemakanan seimbang antara berciri panas dan sejuk, berhenti makan sebelum kenyang, dan menggemari bahagian tangan, leher dan peha ketika dihidangkan daging (Awet Muda, Zainah Moktar, ms 142-143). Islam tidak menghalang kita mengambil sumber protein seperti agama lain.
Firman Allah swt: .
“makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebihan…” al-a’raf:31
“wahai manusia, makanlah apa yang ada di bumi, yang halal dan baik…” al-baqarah: 168
.
Akhirnya, saya mengajak kita semua supaya berazam untuk menjaga kesihatan supaya dimudahkan beribadah kepada Allah menerusi ilmu yang benar dan diperhalusi. Sesiapa sahaja boleh mengutarakan pendapat, tetapi pendapat tersebut mestilah bersandarkan sumber yang sahih dan diyakini: al Quran, as Sunnah, dan kini nilai saintifik yang diselidiki.

Sesungguhnya, ilmu tanpa amal adalah ibarat harta yang tersimpan rapi dalam peti karun tanpa sebarang manfaat padanya. Dan kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
” dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati (jiwa) semuanya akan dipertanggungjawabkan.” al Isra:36

Wallahu’alam..

Noraini Ibrahim, UTM Johor Bahru.
http://www.se.cs.utm.my/noraini.