15
Jun

SEDEKAH HARI JUMAAT

Asalamualaikum WBT,

Bila sampai hari Jumaat pasti akan teringat rasa macam baru sangat solat Jumaat yang lepas. Bermakna sekarang seminggu bagaikan sehari dan sehari bagaikan sejam.

Sebelum ini dalam post-post lama saya ada kongsikan petua amalan untuk menarik rezeki bersedekah hari Jumaat. Seperti sedekah di masjid makanan tak kiralah nak bagi nasi lemak ka, nasi goreng ka, mee goreng ka, atau buah-buahan seperti pisang yang biasa kita tengok.

Insya Allah, bila kita dah tahu, kita buat. Sama seperti kalau kita tengok, banyak nasi lemak yang disedekahkan oleh taukey restoran mamak yang kita tahu macamana bisnes restoran mereka sekarang ini.

Orang yang bagi buah pisang selain niat sedekah , mereka meluahkan rasa bersyukur sebab diberikan rezeki. Itulah yang saya kongsikan dalam pos saya yang lama-lama mungkin dah lebih 2 tahun.

Saya masih ingat lagi, satiap pagi Jumaat, isteri saya masakkan nasi lemak dan saya yang tukang hantar di masjid dalam jam 12 pagi sebelum orang ramai datang ke masjid. Dan saya tak solat di masjid itu sebaliknya pergi sembahyang di masjid lain. Tak perlu lihat ada orang ambik atau tidak.

Kali ini saya ingin kongsikan pandangan dan falsafah saya tentang konsep sedekah makanan untuk orang yang nak pergi lakukan solat jumaat. Lain orang lain pendapat.

Jangan ikut pendapat saya bulat-bulat. Dah namanya pandangan. Tak semestinya betul.

Persoalannya, adakah…

  • Perlu bagi makanan sebagai sedekah sebelum solat Jumaat atau selepas solat Jumaat ?
  • Perlu bagi makanan nasi atau mee atau buah ?
  • Sampai bila nak lakukan sedekah ?

Soalan pertama itu pada pandangan anda, yang masa bila sesuai ? Sebelum solat atau selepas solat ? Seperti yang saya beritahu tadi, ini hanya pandangan saya. Tak semestinya betul. Kalau saya, apa yang saya akan buat ialah beri sebelum solat.

Alasan saya ialah, bila jemaah solat Jumaat mengambil dan makan nasi lemak (sebagai contohnya) lalu mereka mendapat tenaga untuk melakukan solat jumaat, adakah anda rasa anda mendapat sedikit pahala kerana memberi para jemaah tenaga mengerjakan solat jumaat ?

Seperti yang saya cakap tadi, ini hanya pandangan saya. Nanti ada yang cakap, lepas makan nasi lemak rasa ngantuk kemudian tidur tak dengar khutbah la, mungkin ditakdirkan orang yang makan nasi lemak jadi sakit perut lalu tertinggal nak lakukan solat dan macam-macam.

Jadi tak ada yang betul sebab itu pandangan sahaja. Sebab orang yang beri makanan atau sedekah selepas solat pun dimuliakan Allah asalkan niat mereka untuk mendapat keredhaan dari Allah. Bukan kerana nak menunjuk-nunjuk.

Bayangkan , kalau anda mampu buat sedekah beri 50 bungkus makanan dan 50 orang yang solat dari tenaga makanan yang anda sedekahkan, berapa keuntungan anda ? Keuntungan ? Ya bukan kira keuntungan wang ringgit tetapi keuntungan rasa kepuasan memberi manfaat kebaikan kepada orang lain. Itulah kebahagiaan spiritual.

Yang mana lepas solat lalu makan sedekah anda, lalu mereka pergi kerja dan mendapat rezeki lalu rezeki itu mereka boleh buat sara keluarga, bantu orang lain, bagi anak-anak pelajaran, solat fardhu….adakah anda juga mendapat keuntungan secara spiritual ?

Jadi terpulang, selepas dan sebelum juga dimuliakan Allah jika anda niat nak sedekah pada hari Jumaat.

Soalan kedua, makanan apa yang bagus ? Ikut kemampuan anda. Kerana semua makanan memberi tenaga.

Saya juga merancang untuk memberi sesuatu percuma pada hari Jumaat suatu hari nanti.

Apa yang ada dalam kepala ialah setiap hari Jumaat , pusat rawatan saya akan buat rawatan percuma untuk sesiapa sahaja antara pagi sampai jam 12. Doakan semoga impian ini terjadi bila pusat rawatan saya mula beroperasi.

Sampai bila nak lakukan sedekah ? Sampai bila-bila. Cuba amalkan selagi hidup. Insya Allah.  Jangan beri masa tengah susah dengan harapan buat itu untuk dapat rezeki  tetapi bila dah kaya tinggalkan amalan tersebut.

Kena ingat, jangan pedulikan kata-kata orang lain jika anda nekad niat untuk sedekah kerana mereka itu semuanya makhluk. Berusaha untuk akhirat. insyaAllah….saya tanamkan dalam-dalam niat ini.

Akhir sekali, satu soalan cepuk emas nak tanya pada anda. Adakah anda antara orang yang ramai-ramai pantang nampak ada orang sedekah nasi atau pisang anda akan berebut-rebut nak ambik makanan sedekah itu?

Salah kah kalau mengambilnya ? Tak salah. Siapa cakap  salah. Ini sebagai satu pandangan sahaja. Tetapi bagi yang tahu, mereka tak ambik. Pernah dengar orang yang tak boleh nak ambik sedekah sebab itu pantang nenek moyang atau itu pegangan hidupnya ?

Dulu saya jenis orang yang pantang nampak kalau ada orang sedekah pisang. Bukan sahaja saya minat makan pisang tapi pisang itu percuma. Sebab itu dulu saya hidup biasa-biasa dan selalu kesempitan wang, hidup seperti tiada hala tuju.

Saya bukan cerita yang orang makan pisang free hidup tak ada hala tuju. Ini saya ceritakan kisah saya dulu yang suka makan free. Sekarang ni berapa ramai orang yang suka benda free ? Nak ilmu free, nak makan free , nak duit free ? Apa perkara positif yang boleh dikongsikan dengan orang lain ? Kalau saya dulu memang tak ada.

Jadi saya pun mengubah diri saya dan saya sentiasa fikir daripada saya suka mengambil benda free, lebih baik saya selalu fikir apa yang saya boleh bagi benda free pada orang ramai, ikut kemampuan saya.

Mulai saya menukar pegangan hidup itulah, saya mula keluar dari masalah kehidupan. Alhamdulillah. Insya  Allah, anda jangan bimbang. Tak ada orang jatuh bankrap atau muflis atau mempunyai masalah hidup sebab bagi orang sembahyang jumaat makanan.

Mulakan menanam falsafah ini dalam hidup:

 Beri kebaikan kepada orang lain, Allah akan beri kebaikan berganda-ganda kepada kita.

Jika anda rasa nak share, silakan. Mana tahu jika ada yang baca dan mulakan hidupnya bersedekah setiap hari Jumaat, anda juga mendapat share sebab anda hanya sharekan…

Tinggalkan Komen Anda

*