24
Jun

DOA MOHON SECARA TEPAT

Bismilahirahmanirahim.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana melimpahi segala nikmat dan rahmat serta kesihatan yang baik buat kita semua. Alhamdulillah rezeki berlimpah ruah baik yang nampak dan tidak nampak.

Yang tidak nampak seperti rezeki sihat tubuh badan, oksigen yang cukup , pendengaran dan penglihatan yang jelas dan pertuturan yang baik.

Semua yang tak nampak itu kita tak pernah minta daripada Allah tetapi dengan sifat yang Maha Pemberi , Allah lengkapkan untuk kita teruskan kehidupan.

Sejak kebelakangan ini, ramai ahli tendai yang dah mula sibuk dengan aktiviti baik dari segi pekerjaan mahupun perniagaan. Yang mana dulu susah nak dapat kerja , sekarang Alhamdulillah, dah diterima bekerja.

Dulu yang tak ada projek, sekarang bertubi-tubi projek masuk. Semuanya kesan positif setelah berdoa mohon kepada Allah.

Bila berdoa, perlu minta secara tepat. Jika tidak, kita mungkin tak sedar yang doa kita itu sudah tercapai. Contohnya setiap kali selepas solat Jumaat, kita berdoa kepada Allah mohon MURAHKAN REZEKI.

Memang doa anda dimakbulkan bila anda keluar masjid sahaja anda dapat dua biji pisang yang orang dermakan.

Bila mohon dilimpahi rezeki berlimpah ruah, memang rezeki anda berlimpah ruah. Rezeki seperti makanan, kesihatan, keluarga, ketenangan. Tetapi ada satu rezeki yang selama ini anda selalu fikirkan iaitu duit. Yang lain terlepas pandang.

Sebab itu jika inginkan rezeki wang ringgit, anda mohon berapa amaunnya. Secara tepat. Jika RM10,000, mohon doa nak RM10,000. Jangan tanya bila dapat. Bergantung pada usaha anda. Berdoa juga usaha.

Saya kongsikan pengalaman saya dulu ketika nak beli kereta. Saya mohon doa untuk dapatkan kereta impian saya. Alhamdulillah dapat. Cuma baru pakai beberapa minggu kereta itu rosak. Biasalah bila beli kereta terpakai.

Rupanya saya tak minta dalam doa agar kereta saya itu dalam keadaan sempurna dan tip top. Kereta impian memang dapat tetapi ada kekurangan. Anda faham maksud saya ?

Kita selalu minta doa untuk dapat duit. Tetapi jika kita dapat capai impian kita tanpa perlu guna duit, itu dah kira lagi baik. Contohnya menang rumah banglo impian setelah masuk peraduan. Tanpa guna duit !

Waktu yang mustajab berdoa adalah antara jam 3 pagi hingga jam 5 pagi. Waktu lain yang dulu saya amalkan setelah saya dapat tahu ialah pada waktu selepas solat asar.

Tetapi yang terbaik adalah sepanjang masa berdoa. Kerana itu menandakan kita sentiasa beringat dan hanya mohon pertolongan daripada Allah sahaja.

Saya doakan terbaik buat anda!

Tinggalkan Komen Anda

*