22
May

APA PERSEDIAAN KITA UNTUK KEMATIAN

Sejak kebelakangan ini, ramai kenalan saya yang orangnya baik-baik sudah kembali ke rahmatullah. Ada setengah pendapat, orang yang baik-baik umur tak panjang. Mungkin orang yang umurnya panjang diberi masa dan peluang untuk bartaubat.

Setiap kali bila kawan kita pergi, kita selalu bertanya kepada diri kita, bila pula giliran kita. Apa persediaan kita untuk pergi ke alam lain.

Kebiasaannya , kesibukan kita dalam mengejar dunia mencari rezeki buatkan kita lalai tak terfikir tentang persediaan untuk menghadapi kematian kita.

Sebenarnya kematian adalah proses perjalanan kita untuk pergi ke alam yang kekal abadi. Selepas kematian ini, tidak ada lagi kematian. Kita akan jadi kekal selama-lamanya bila dibangkitkan di padang masyhar.

Sebenarnya kita perlukan motivasi untuk membuat persediaan menghadapi hari kematian. Sama seperti dalam perniagaan, motivasi dan orang yang menjadi idola dua faktor untuk membuatkan kita bersemangat.

Tak ramai yang bersemangat untuk motivasikan diri menghadapi kematian.Tetapi hakikatnya tak boleh lari yang kita semua akan mati.

Saya melihat satu rancangan TV yang pengacaranya meluahkan rasa geli untuk memegang dan melihat mayat sampai terjerit-jerit. Pengacara perumpuan itu tak sedar yang suatu hari nanti, dia juga akan jadi mayat.

Saya ingin kongsikan kisah seorang sahabat yang perwatakannya warak dan sudah kembali ke rahmatullah dua tahun lepas. Dia meninggal dunia disebabkan penyakit kanser perut.

Arwah meninggal pada hari Jumaat. Untung sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat. Sewaktu proses memandikan jenazah dan manghafankan, ada bau wangi seperti bau kasturi. Wajah arwah juga seperti sedang tidur.

Semasa nak solat jenazah, begitu ramai yang datang untuk bersama-sama sembahyangkan sehingga tak muat masjid. Apa kebaikan yang arwah telah buat sepanjang hidupnya?

Arwah bukanlah orang yang berharta atau berduit sangat kerana kerjanya sebagai pembantu kedai sahaja. Setiap malam arwah akan melakukan solat malam tanpa tertinggal dan rajin buat solat 5 waktu di masjid serta surau.

Arwah juga aktif buat kerja-kerja dakwah sehingga keluar 3 hari seminggu dan 40 hari untuk mencari keredhaan Allah. Walaupun selalu keluar ke jalan Allah, tetapi anak-anaknya tidak diabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah.

Keluarga belah adik beradik dan saudara maranya tak suka apa yang dibuat olehnya. Mereka menuduh arwah seperti tidak ambik peduli pada keluarga. Tetapi arwah bersikap tenang dan sabar.

Setiap malam selesai solat arwah akan memohon hajat kepada Allah agar keluarganya sentiasa dilindungi dan diberi keredhaan. Alhamdulillah, keluarga arwah walaupun tak senang harta tetapi hidup mereka bahagia.

Amalan arwah seperti melakukan solat 5 waktu di masjid, selalu keluar ke jalan Allah, melakukan solat tengah malam, menolong orang lain tidak sehebat mana jika dibandingkan dengan nikmat dan rahmat yang Allah beri kepadanya.

Sewaktu pengkebumian, jenazah arwah rasa begitu ringan sekali. Dan sekitar kawasan perkuburan itu menjadi wangi. Mungkin inilah tanda-tanda kematian orang yang beriman.

Mari kita sama-sama renungkan nasib kita apabila dah sampai ajal. Siapakah orang yang kita boleh harapkan untuk manguruskan jenazah kita? Berapa kerap kita bercampur dengan kariah masjid atau surau?

Mungkin speanjang hidup kita, kita memandang rendah orang yang selalu makmurkan masjid atau surau. Terlalu sibukkan mengejar dunia dan cari rezeki dan nak kejar capai impian.

Masih belum terlambat lagi jika sekarang ini kita masih hidup. Apa yang kita boleh buat sekarang, kita bertanyakan ke mana-mana masjid atau surau yang mempunyai kursus mandikan jenazah. Kita mulakan dengan amalan kecil dahulu iaitu setiap kali masuk waktu sahaja terus lari ke masjid dan surau.

Seorang lagi kisah Allahyarham ustad yang mengajar saya mengaji semasa kecil dahulu. Hidupnya memang banyak di masjid. Dia sebagai pak noja di masjidnya dan dalam masa yang sama dia mengajar orang mengaji baik tua dan muda.

Semasa hari kematiannya, saya sempat melihat jenazah arwah sebelum dikebumikan. Arwah seorang yang serius dan mukanya garang.Sebab itu saya semasa kecil (umur 12 tahun) tak berani nak mengaji sambil main-main.

Tetapi yang mengejutkan saya bila melihat jenazah wajah arwah yang mulutnya tersenyum sehingga ke telinga. Memang bukan senyum yang buat-buat tetapi senyum yang luar biasa panjang. Ni pada tahun 1996.

Boleh bayangkan, wajah jenazah yang senyum walhal semasa arwah hidup belum pernah saya lihat mukanya senyum. Sepanjang hidupnya, arwah hanya menaiki motorsikal.

Arwah meninggal dunia sewaktu dia menunggang motor dan secara tiba-tiba dia terjatuh lalu meninggal. Saya hanya sempat untuk menziarah dan sembahyang jenazah untuk bekas guru mengaji saya yang ketika itu saya sudah berumur 26 tahun. Mengenali arwah guru ngaji dari kecil.

Untuk dapat motivasi dalam mengerjakan amalan ialah selalu mengingati kematian kita. Jika ingat mati selalu, dengan izin Allah, kita dapat tahan diri dari melakukan dosa.

Kita perlu saling ingat mengingati agar kita tidak terpedaya dan terlupa bahawa apa yang ada dihadapan kita sekarang ini adalah pinjaman semata-mata.

Jika anda rasakan post ini dapat memberi manfaat kepada orang lain, sila SHARE kan klik butang atas.

 

 

 

Tinggalkan Komen Anda

*