22
Nov

Kisah Peminta Sedekah

Bismilahirahmanirahim,

Hari ini saya nak kongsi satu cerita yang mungkin berlaku pada diri kita atau akan berlaku pada diri kita.

Kisah yang berkaitan dengan keajaiban dan ia pasti akan muncul dalam kehidupan kita. Mari kita belajar supaya tidak terlalu berharap bagi mendapat keajaiban yang bukan milik kita kerana Allah menyediakan keajaiban yang berbeza-beza bagi setiap sesiapa iaitu bagi orang yang berharap dan bergantung kepadanya.

Kita memiliki Allah, sumber segala keajaiban yang selalu memberi perkara ajaib kepada kita. Kita sebenarnya mempunyai keajaiban. Renunglah kisah yang saya nak kongsi ni.

Kisah ini berlaku suatu ketika zaman dahulu.

Pada suatu hari, sepasang suami isteri sedang makan di rumah mereka. Tiba-tiba pintu rumah diketuk oleh seorang pengemis

Melihat keadaan pengemis yang daif itu , si isteri berasa terharu dan mahu memberi makanan kepadanya.

Tetapi sebagai isteri yang taat dan patuh pada suaminya , dia minta izin dahulu, “Bolehkah saya beri makanan kepada pengemis tu?”

Rupa-rupanya sikap si suami berbeza dengan sikap si isteri. Dengan lantang dan kasar si suami menjawab, “Tak payah! Halau saja dia dan tutup pintu!”

Wanita berhati mulia tu terpaksa menurut perintah suaminya dan tidak memberikan makanan kepada pengemis.

Tak lama selepas itu, perniagaan si suami mengalami kemerosotan dan akhirnya dia bankrap. Dia terpaksa menanggung banyak hutang.

Selain tu, disebabkan oleh sifat dan tabiat suami isteri yang berbeza, rumah tangga mereka menjadi huru-hara dan akhirnya mereka bercerai.

Tidak lama selepas tempoh idahnya tamat, wanita itu berkahwin semula. Kali ini dia berkahwin dengan seorang ahli perniagaan di kota dan hidup bahagia.

Pada suatu hari, semasa wanita itu sedang makan dengan suami barunya, pintu rumah mereka diketuk orang. Apabila pintu dibuka, ternyata tetamu yang tidak diundang itu adalah seorang pengemis. Wanita itu berasa sedih melihat keadaan pengemis yang daif.

Lantas dia berkata kepada suaminya, “Bolehkah saya memberi makanan kepada pengemis ini?”

“Ya, berilah makanan kepada pengemis itu.”

Selepas memberi pengemis itu makanan, si isteri masuk ke dalam rumah sambil menangis. Dengan perasaan hairan, si suami bertanya, 

“Mengapa kamu menangis? Adakah kerana saya menyuruh kamu memberi daging ayam kepada pengemis itu?”

Si isteri menggelengkan kepalanya , lalu berkata dengan sedih, 

“Saya sedih dengan perjalanan takdir yang di hebat. Kamu tahukah siapa pengemis yang ada di luar tadi ? Dia adalah bekas suamiku.”

Mendengar penjelasan isterinya, si suami berasa terkejut, tetapi dia bertanya lagi. “Tahukah kamu siapa saya yang kini menjadi suami kamu ? Saya adalah pengemis yang dahulunya dihalaunya!”

Allahu akbar!! Siapa yang mengatur semua peristiwa ini ? Tentulah Zat yang pastinya maha berkuasa ke atas semua ciptaannya. Kita dan semua peristiwa yang berlaku dalamnya tunduk pada ketentuan Tuhan.

Mari kita sama-sama berdoa dan salawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Setiap Nabi di anugerahkan Mukjizat dan setiap mereka satu Doa mereka yang Allah terus tunaikan. 

Setiap Nabi sudah menggunakan doa mereka kecuali Nabi Muhammad.

Syafaat ini dinamakan Al-Syafa’ah Al-Uzhma iaitu pertolongan yang terbesar. Ini juga di maksudkan dengan maqamam mahmuda iaitu kedudukan mulia yang dijanjikan oleh Allah.

Rasulullah SAW pernah berkata, “Setiap nabi mempunyai doa yang dikabulkan oleh Allah. Mereka semua memohonnya, manakala aku menangguhkan permohonanku hingga Hari Kiamat bagi memohon syafaat bagi umatku.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagitu mulianya kedudukan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW/ Beruntung kita kerana dilahirkan  sebagai umat Nabi Muhammad. Semoga kita mendapat syafaat Rasulullah di Hari Kiamat dan marilah kita sentiasa Mohon pada Allah dan Salawat Salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Tinggalkan Komen Anda

*