20
Nov

5 Sebab Kenapa Kita Mesti Kaya dengan Cara yang Halal

Dari sumber rujukan Kewangan Islam:

Semua orang mahu menjadi orang yang berharta. Namun, ada yang memilih untuk menjadi kaya dengan apa cara sekalipun walaupun melanggar batas-batas Islam. Sedangkan harta sepatutnya membantu kita di akhirat kelak dan bukannya menjadi penghalang kita dari memasuki syurga.

Sesungguhnya tidak masuk syurga orang yang daging badannya yang tumbuh dari benda yang haram melainkan nerakalah menjadi tempat yang layak baginya. (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tarmizi)

Justeru, kita mesti mengetahui kenapa kita mesti mencari harta kekayaan dengan cara yang halal dengan menjauhi 3 maksiat besar dalam urusan harta iaitu riba, judi dan gharar.

1. Tanda syukur kepada Allah swt

Setiap kekayaan di atas muka bumi ini adalah daripada Allah untuk kita. Emas, perak, kambing, lembu, padi, petroleum serta bisnes misalnya adalah antara sumber kekayaan yang tidak dapat kita hitung banyaknya. Harta-harta tersebut dan jenisnya dicipta sebagai habuan kita di dunia. Justeru, mencari harta kekayaan dengan cara yang halal adalah salah satu cara untuk kita bersyukur kepada Allah swt atas nikmat yang diberi. [al-Qasas:77]

2. Anak kunci syurga

Harta dari sumber yang halal perlu dizakat dan dibelanjakan di jalan Allah. Harta merupakan salah satu modal perniagaan kita dengan Allah. Barangkali kita tidak dapat menjadi seorang yang ulama yang merupakan waris para Nabi untuk masuk ke syurga. Justeru, menjadi seorang hartawan yang dermawan adalah pilihan kita. [As-Soff: 10-12]

3. Berkembang unik

Harta halal, melalui zakat dan sedekah dapat berkembang dengan cara tersendiri. Ini kerana zakat dan sedekah walaupun secara fizikal kelihatan ‘mengurangkan’ tetapi sebenarnya zakat dan sedekah menambahkan harta. Berbeza dengan harta haram, nampak banyak tetapi akhirnya susut dan mengecil. Sesungguhnya semua harta adalah milik Allah dan Dia memberi kepada kita dengan cara tersendiri. [al-Baqarah: 276]

4. Semakin banyak, semakin tenang

Harta yang halal, walaupun jumlahnya kecil tetap memberikan ketenangan dalam jiwa. Berbeza dengan mereka yang mengumpul harta melalui jalan riba, judi dan gharar, Allah swt mencabut ketenangan dari jiwa mereka. Lagi banyak mengumpul harta haram, lagi gelisah, gundah gulana dan semakin jauh dengan Allah swt. [al-Baqarah: 277]

5. Nabi saw juga orang kaya

Sisi lain Nabi Muhammad saw adalah baginda merupakan orang bisnes. Dari kecil sudah diajar berniaga. Menjadi rakan niaga Sayyidatina Khadijah ‘business woman’ ulung pada zamannya dan kemudian menikahinya dengan maskahwin 20 ekor unta (anggaran nilai seekor unta paling kurang bersamaan dengan 8 ekor kambing). Ketika Nabi saw mula menyebarkan Islam, bisnes Baginda diuruskan oleh sahabat bernama al-Saib ibn Abi al-Saib al-Makhzumi. Nabi Muhammad saw adalah contoh terbaik menjadi kaya dengan cara yang halal.

… makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan daging tubuhnya tumbuh dari yang haram. Justeru bagaimana mungkin dia mengharapkan doanya dimakbulkan? (Hadis dari Imam Muslim)

Tinggalkan Komen Anda

*