22
Dec

ISTERI NAK TINGGAL (MINTA CERAI) DISAAT SUSAH

Bismilahirahmanirahim.

Baru-baru ini saya ada terima email dari seseorang sahabat meluahkan tentang nasibnya.

Keadaannya sekarang yang banyak hutang gara-gara terlibat dengan pelbagai skim sebelum ini.

Dia memberitahu suatu malam isterinya meminta cerai kerana sudah tak sanggup hidup susah dan tak dapat kecapi kemewahan seperti orang lain.

Walaupun sudah mempunyai anak ramai tetapi jalan perceraian dipilih oleh sang isteri.

Bukan niat untuk memburukkan atau menceritakan masalah orang di blog ini tetapi sebenarnya saya ingin kongsikan apa yang semua orang alami termasuk diri saya.

Walaubagaimanapun, semua yang berlaku itu satu cabaran hidup dan Allah memberi peluang untuk kita tingkatkan diri kita ke tahap yang lebih tinggi.

Saya masih ingat lagi disaat saya baru jatuh dari Bisnes, ketika itu tak ada pendapatan dan rumah yang disewa tak ada duit nak bayar hanya tinggal 20 sen dalam tangan.

Duit tabung hasil saya simpan duit syilling semasa keluar dahulu dah disapu licin buat bayar tol, isi minyak kereta (pakai syilling) untuk hantar isteri pergi kerja.

Memandangkan tak mampu nak hantar isteri pergi kerja, saya minta dia berhenti kerja supaya boleh beri tumpuan pada anak-anak. Disaat saya tak ada duit, tinggal duit sebanyak 20sen dan isteri sudah tak bekerja, hidup ketika itu tak nampak apa kejayaan yang bakal diperolehi.

Berbanding dengan sahabat yang meluahkan tadi, dia kira beruntung kerana mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan tetap walaupun hutang dia dengan saya, rasanya saya punya hutang lebih banyak.

Jika hutangnya beratus ribu, hutang saya berjuta. Disaat dalam mencari identity atau mencari jalan untuk keluar bangkit semula, sama seperti orang lain juga, pergolakan rumah tangga berlaku juga.

Cabaran isteri nak keluar dari rumah dengan dah siap packing barang dan siap nak bawa anak keluar dari rumah menunggu teksi ambil berlaku disaat saya tak mampu nak bayar sewa rumah ketika itu. Dalam tangan ada 20 sen bagaimana nak bayar.

Walaupun sebelum ini ada rumah sendiri tetapi terpaksa dijual. Bayar bank sampai 4 kali ganda daripada bayar sewa rumah jika rumah sendiri. Padahal saiz rumahnya sama.

Tercabar rasanya kerana tidak dapat nak jadi seorang pemimpin keluarga dan tak dapat nak sediakan kelengkapan yang cukup pada mereka. Walaubagaimanapun, rezeki makan Alhamdulillah, tetap ada.

Kalau kawan tak belanja makan, rumah tu ada sahaja stok bekalan. Mungkin dahulu ketika senang hari-hari belanja orang makan.

Disaat isteri nak keluar rumah, saya halang dengan mengambil semula baju pakaian mereka dan masukkan semula dalam bilik dan kunci semula pintu supaya mereka tak boleh keluar.

Lepas tu, saya terus mengambil wuduk dan tikar sejadah meluahkan perasaan saya ketika itu di atas sejadah kepada Allah. Saya tahu, saat itu syaitan sedang berusaha keras nak pengaruh emosi.

Air mata yang menitis ketika di atas sejadah ketika itu sebenarnya kelemahan saya tak dapat nak hadapi ujian yang kecil ketika itu. Ketika itu, saya dan keluarga masih lagi belum mengerti erti kehidupan dan menganggap dugaan yang berlaku dalam keluarga dan masalah kewangan adalah tujuan hidup kami.

Tiga hari saya bertapa dalam bilik untuk mencari kekuatan di atas tikar sejadah sahaja yang saya tahu buat sambil jenguk anak sebentar. Ketika itu hanya keluar bilik untuk makan sedikit dan lihat anak sahaja. Saat itu benar-benar kosong tak tahu nak buat apa. Hanya harap petunjuk dari Allah.

Akhirnya saya dapat ilham… lebih baik saya tingkatkan diri dengan ilmu. Jika dahulu banyak falsafah barat yang dijajah dalam kepala otak seperti buku-buku Selling, Personal Development, Leadership, kini beralih ke buku-buku Agama dan Sejarah Para Sahabat dan Rasul.

Jika dahulu saya boleh beli buku Mat Salleh yang harganya sampai RM80 sebuah ketika tengah senang, takkan buku Agama yang beharga RM10 sebuah tak boleh nak diperuntukan.

Rezeki untuk mencari ilmu dimudahkan ketika itu. Alhamdulillah, saya dapat juga mengikuti program yang berkaitan dengan pembinaan ehsan. Isteri saya juga dapat pergi bersama ke program tersebut.

Alhamdulillah, baru sedar dengan ilmu dan jati diri yang baru diperolehi. Baru tahu hala tujuan hidup dan matlamat hidup. Isteri pun sudah insaf dan faham erti kehidupan yang sebenar.

Hidup ini bukan mengejar wang yang banyak, harta, kekayaan, kerana itu semua bukan kekal abadi. Walaupun semua itu dah tahu tetapi tidak secara berisi.

Jika dahulu selalu berkrisis bersama isteri, selepas tahu erti kehidupan melalui ilmu diperolehi, boleh katakan tak ada perkelahian pasal wang. Dan dengan izin Allah, rezeki pun bertambah dengan pelbagai usaha bisnes saya ketika itu.

Dugaan yang dialami dahulu terlalu sedikit berbanding dugaan yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan isterinya Siti Khadijah ketika mereka dipulaukan oleh penduduk Mekkah. Selama 3 tahun mereka dan para sahabat yang lain hidup kelaparan.

3 tahun usahkan tiada wang, nak makan pun tak ada. Ada yang menumbuk tulang belulang untuk dijadikan makanan abu tulang sebagai memberi tenaga untuk hidup.

Dari seorang yang Kaya raya Siti Khadijah setia bersama Rasulullah sebarkan agama Allah dan segala harta digunakan kearah itu. Sebab itu Allah utuskan perkhabaran melalui Jibril sampaikan salam pada Siti Khadijah , dia wanita pertama yang memasuki syurga dan mahligai mutiara sudah dibina untuknya.

Beruntung bagi isteri yang faham bahawa kekayaan yang diperolehi di dunia ini bukan memberi kebahagiaan kekal abadi. Hidup di dunia ini jika umur sampai 80 tahun sebenarnya kehidupan yang terlalu pendek berbanding hidup selama kekal abadi di kehidupan selepas ini.

Jika dalam dunia hidup susah selama 80 tahun, mengapa perlu di cagarkan dengan penderitaan yang kekal abadi dan kehidupan yang lebih baik selepas ini.

Jika faham erti nya, pasti kita akan memilih kehidupan yang selepas ini, kehidupan yang tiada masalah, tidak ada penderitaan dan kehidupan yang bahagia kekal abadi. Itulah janji Allah syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang sabar dan sentiasa mengingati Allah.

Bayangkan , berapa ramai isteri-isteri yang dahulu kala zaman 50an mengejar kemewahan dan hari ini semuanya dah dikebumikan dan berada di alam lain. Segala harta emas kekayaan dijadikan pusaka.

Sebagai suami, perlu sabar untuk membimbing isteri ke jalan Allah dan mereka sebenarnya beruntung jika inginkan kejayaan abadi, hanya patuh pada suami. Bayangkan jika suami masuk ke syurga Firdhaus, isteri juga akan masuk menemani suami di Syurga Firdhaus sebagai ketua bidadari.

Walaubagaimanapun, bukan erti kita meninggalkan kejayaan dunia. Fahami matlamat kita bahawa dunia ini bukan tujuan hidup kita. Kekayaan yang diperolehi adalah amanah kita sahaja.

Apabila keluarga suami isteri sudah faham erti kehidupan, rezeki akan mengalir tanpa disedari dan segala masalah yang menimpa dapat diatasi. Inilah dia kekuatan spiritual yang perlu diperolehi.

Walau duit banyak diberi pada isteri, emas berbondong-bondong dihadiahkan pada isteri, tetapi disaat susah, semua itu tidak ada erti lagi dan tetap akan mengundang perbalahan juga. Tetapi jika menghadiahkan isteri ilmu akhirat, kejayaan di dunia dan di akhirat dapat diperolehi.

Post Ditaja oleh :

metafizik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

*

razmi

December 28, 2010 at 1:14 am

artikel yg sangat dekat dengan diri ini.