19
Jul

HARGA SEBUAH HIDAYAH

sinaran cahaya

Bismilahirahmanirahim,

Kurniaan hidayah bagi seorang manusia sangat penting. Pernah berlaku kejadian dimana seorang yang matanya ditutup kemudian disuruh berjalan.

Akhirnya dia menangis. Mengapa? Mengapa tidak! Dia berasa setiap langkahnya penuh dengan keraguan, berbahaya dan berisiko. Mungkin dia bakal tersadung, terjatuh, terlekat kakinya dalam lubang, terhantuk kepala dan bermacam-macam lagi kemungkinan.

Begitulah keadaannya apabila kita tidak mendapat cahaya dalam hidup ini. Bagaimana pula, apabila hati kita tidak mendapat cahaya kebenaran?

Berada di lorong yang gelap gelita , pasti mengusarkan jiwa. Setiap langkah tidak ada kepastian, jiwa tidak tenteram dan sering dicengkam rasa cemas. Begitu juga orang yang tidak mendapat perhatian daripada Allah.

Hidupnya sentiasa dicengkam rasa cemas dan rungsing. Ketakutan membayangi hidup. Takut tidak mendapat dunia , wang, harta dan makanan. Takut kepada manusia, takut mati, takut hutang banyak, takut jatuh sakit dan pelbagai jenis ketakutan.

Tidak ubah seperti orang yang masuk ke dalam hutan , walaupun membawa bekal tetapi tidak membawa peta. Bekalannya banyak tetapi takut habis sebelum tiba ke destinasi. Akhirnya dia terus panik.

Kekalutan sebegini juga yang bakal dirasai oleh sesiapa jua yang menjalani hidup ini tanpa bersuluh petunjuk illahi. Seseorang yang berjalan tanpa arah yang pasti , kabur, cemas, bimbang dan bingung silih berganti. Hidupnya kelam tanpa sinar.

Begitu juga dengan orang yang tidak mendapat hidayah Allah. Hidupnya mendung dengan rasa takut, tegang, waswas, gelisah dan cemas. Bukan sedikit orang kaya yang menderita dengan kekayaannya. Semakin melimpah ruah kekayaannya, semakin dia sengsara.

Mengapa? Semakin banyak harta kekayaannya semakin banyak yang perlu mereka jaga. Orang yang jauh dari agama dan Quran, walaubagaimanapun kesenangan dunia yang diraihnya, dirinya tetap hina. Harta jawatan gelaran kebesaran dan kedudukan dalam masyarakat jika tidak seiring dengan taat pada Allah pasti menyeksakan.

Apabila kita mendapat hidayah Allah, ibaratnya seperti kita berjalan di tempat yang terang dan jelas pada bahagian depan, belakang, kanan malah kiri juga. Sekalipun harga barangan melonjak, kita tidak risau. Kita yakin Allah Maha mengetahui apa yang kita perlukan bagi kita sendiri dan dialah yang maha memenuhi keperluan hambanya.

Ini dijelaskan oleh Allah di dalam Quran surah as -Syams ayat 8 yang bermaksud, “Dan Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan.” Dengan kata lain, setiap orang sebenarnya sudah dibentangkan pilihan. Sama ada yang dikehendakinya atau buruknya, bergantung kepada kesungguhan dan ketaatan dalam mengikuti petunjuk ilahi.

Dalam Surah Ali Imran ayat 73 pula “Dan janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikuti agamamu. Katakanlah , sesungguhnya petunjuk yang perlu diikuti adalah petunjuk Allah.”

Ayat itu memperingatkan kita supaya sentiasa mengikuti petunjuk yang Allah gariskan, iaitu dengan bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah, sebagaimana kita bersungguh-sungguh mencari rezeki kerana dengannya sahaja manusia memperoleh dan meraikan kebaikan.

Nabi Muhammad berkata, “Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang , maka dia akan diberi kefahaman mendalam tentang agama.”

Setiap orang bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah, pasti Allah membukakan jalan untuknya. Ini dijelaskan oleh Allah didalam Quran surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud, “Dan orang yang bersungguh-sungguh di jalan kami, maka akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang melakukan ihsan.”

Cara bersunguh-sungguh mencari hidayah adalah teruskan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Tiada hari tanpa mencari ilmu. Tiada hari kecuali bertambah amal. Dan tiada hari kecuali semakin bersih hati kita.

Semakin bertambah ilmu, semakin produktif kita beramal. Dengan izin Allah hati kita semakin telus lagi tulus. Mudah-mudahan dengan ilmu yang diamalkan disaluti dengan keikhlasan dan menjaga kita daripada ditarik nikmat agung Allah iaitu hidayahnya. Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

*

reza

July 19, 2010 at 2:58 pm

rajin up date blog ..takde projek baru ke master?

    Master Hadzrin

    July 19, 2010 at 3:38 pm

    banyak projek…setiap hari sekurang-kurangnya tambah satu projek baru perlu dibuat…