04
Feb

Jangan Kecewa Jika Gagal, Jangan Putus Asa Apabila Kalah

Apabila kita mengalami kekecewaan, atau kita gagal dalam sesuatu usaha, sememangnya sukar untuk kita bangun dan berjuang semula. Apa yang anda boleh lakukan dalam keadaan sedemikian? Bagaimanakah anda menangani perasaan anda itu? Malah, bagaimana anda memanfaatkan kekalahan anda itu? Satu perkara yang kita harus yakini ialah kegagalan dan kekecewaan merupakan satu rukun penting dalam proses perkembangan diri anda.

Manusia yang tidak pernah gagal tidak akan mencapai kejayaan. Kita boleh menganggap bahawa kesilapan dan kegagalan kita sebagai satu papan tanda dalam kehidupan yang mengingatkan kita “jalan ini salah!”. Dalam ertikata lain, setiap kesilapan kita membuat kita mengenali jalan atau cara yang betul. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Edison apabila setelah beribu-ribu kali gagal menyalakan lampu mentol yang beliau cipta, beliau berkata bahawa beliau bukan gagal, tetapi menjumpai beribu-ribu cara untuk tidak menyalakan mentol tersebut!

Sememangnya kita selalu menganggap bahawa kehidupan yang ‘lancar’ itulah yang terbaik dan yang ideal. Mungkin ya, mungkin juga tidak. Kata orang, laut yang sentiasa tenang tidak akan menghasilkan pelaut yang mahir dan cekap. Namun laut yang bergeloralah yang bisa melahirkan pelaut-pelaut mahir yang dapat mengemudi bahtera kehidupan ke tempat-tempat yang belum pernah diterokai. Jika kita tidak menguji diri kita, kita tidak akan tahu apa kelemahan kita. Jika kita tidah tahu kelemahan kita, kita akan selesa dengan keadaan sedia ada dan tidak berusaha untuk memperbaikinya. Kerana dalam minda kita, kita rasa sudah ‘sempurna’, atau setidak-tidaknya kita berpuas hati dengan keadaan kita seadanya.

Jika anda ingin belayar jauh, adakah anda akan menyerahkan bahtera anda kepada pelaut yang hanya melayari laut tenang dan tidak pernah menghadapi ribut dan sebagainya, atau pelaut yang biasa dengan lautan bergelora, membelah lautan terbuka?

Jika anak anda, atau adik anda yang baru belajar berjalan, kerap jatuh bangun, mendedahkan dirinya kepada risiko-risiko seperti terhantuk meja, kerusi atau terlentang atas lantai, apakah anda akan berkata “Cukuplah!, tak usahlah membahayakan diri anda sendiri lagi!”?

Tidak sekali-kali, sebab itulah agaknya sebahagian besar manusia dunia ini boleh berjalan! Sebab sebagai kanak-kanak kecil, mereka tidak pernah mengalah. Mereka tidak kenal perkataan ’putus asa’.

Mungkin kita juga perlu mengingatkan diri kita tentang sifat kita yang sering dilupakan ini… Ingatlah, kekalahan adalah sementara, hanya sifat putus asa kitalah yang menjadikannya kekal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

*